Ramai yang terkejut beruk bila seorang pemuda menyatakan kepada kami bahawa antara Khairy, Khir Toyo, Mukhriz, Zahidi dan Shaziman bahawa Khir Toyo adalah yang paling kuat mendapat sokongan dari akar umbi Pemuda UMNO. Pemuda itu memang kami kenal dan beliau juga seorang yang terkenal tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
Salah seorang daripada 7 orang daripada kami bertanya apakah yang menjadikan Khir Toyo kuat dan mendapat sokongan dari akar umbi. Katanya, Khir seorang yang cukup pemurah. Beliau sentiasa merendah diri bila bercakap dan berjumpa dengan sesiapa. Ketokohannya cukup menyerlah dengan pengalaman duduk dalam barisan EXCO pemuda dan berpengalaman menjadi Menteri Besar Selangor.
Selain itu katanya lagi, Khir seorang yang rajin menemui pemuda bahagian di mana saja dan sentiasa terbuka untuk mana-mana ketua pemuda menemuinya tidak kira masa. Dari bibirnya tidak pernah lekang mahu membasmi kemiskinan dari kalangan orang Melayu. Dia mempunyai cara tersendiri mahu membentuk pemuda supaya berani dan gagah dalam perjuangan bangsa, agama dan negara.
Semua tercenggang mendengarkan huraiannya yang bagaikan dihafal dari sebuah skrip. Ketika itu setiap yang mendengar membuat macam-macam tafsiran mengenai pemuda yang begitu petah menceritakan hal Khir Toyo.
Dalam pada itu, salah seorang dari kami mencelah memberitahu satu persatu. Katanya, Khir orang kaya yang datang dari bumi Selangor memang mudah menjadi seorang pemurah. Malah terlalu banyak untuk dihabiskan. Beliau merendah diri kerana dia memang bertubuh rendah. Oleh kerana beliau tidak lagi menjadi menteri besar, maka tidak hairanlah kalau dia tidak lagi bercakap besar.
Dari segi pengalaman, ada dua aspek yang perlu dipecahkan kerana pengalaman ada dua jenis. Satu pengalaman positif dan satu lagi pengalaman negatif. Memang dia kena rajin menemui pemuda bahagian kerana tanpa pemuda bahagian, siapa yang dia harus mendapatkan sokongan? Memang Khir mempunyai banyak masa kerana dia sekarang tidak sibuk macam dulu lagi.
Yang dikatakan beliau mahu membasmi kemiskinan orang Melayu, sejak dari dia mula-mula jadi menteri besar lagi. Tapi di Selangor bersepah orang Melayu papa kedana. Kuncu-kuncunya tetap terus kaya.
Yang dikatakan mahu membentuk pemuda supaya berani dan gagah untuk perjuangkan bangsa, agama dan negara, semua pemimpin yang hendak bertanding akan berkata begitu.
Kami hanya memasang telinga menadah hujah mereka berdua. Dan kami sependapat bahawa pemuda itu adalah antara ramai pemuda yang diturunkan ke padang untuk bercakap dengan semua orang bahawa Khir Toyo adalah pilihan terbaik untuk memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO. Mereka akan kritik yang lain yang kononnya tidak sehebat Khir.
Bila ada di antara kami yang bangkitkan soal Khir memberi pegawainya hadiah penyapu dan ubah muka guna botok tempe, pemuda itu terus mahu membela 'bos'nya. Soal botok soal peribadi. Soal penyapu, Khir mahu mengajar pegawainya supaya sedar akan kelalaiannya terhadap kebersihan yang kononnya simbolik.
Debat menjadi lebih hebat kerana ada yang mencelah memberitahu bahawa Khir seorang pengecut untuk mengajak pemuda supaya berani kerana dialah yang takut pada wajah originalnya hingga sanggup mengubah mukanya.
Banyak lagi cara mengajar orang bawahan selain daripada memberi penyapu. Dia patut hadiahkan vacume cleaner, bukan penyapu. Kerana dek dialah Selangor terlepas ke tangan pembangkang. Dialah yang membangunkan Selangor dengan mendapat keuntungan besar dari tauke-tauke bukan Melayu.
Koncu-koncunya kenyang dengan hanya menjadi orang tengah sahaja. Ada yang tadah TALAM sahaja untuk kaut keuntungan dan terus kaya raya. Jadi, agenda apa lagi yang Khir mahu atur sekarang ini? Apakah dia ingat dengan kempen menaikkan semula imejnya boleh menyebabkan pemuda gelap mata? Apakah dengan wajah kalahnya di Negeri Selangor itu dia ingat pemuda boleh percaya lagi untuk dia memimpin pemuda?
Kalaulah Khir masih lagi Menteri Besar Selangor, sebelah mata pun dia tak pandang jawatan Ketua Pemuda UMNO. Dia tetap akan terkam jawatan Naib Presiden sekurang-kurangnya. Ataupun dia mungkin sudah ikut jejak Mohd Ali Rustam dan Ahmad Zahid Hamidi tawar diri untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Malahan sebelum ini pun Khir sudah pernah pukul canang kepada ramai yang beliau akan bertanding Naib Presiden, bukan Ketua Pemuda. Jawatan Ketua Pemuda bukan standard dia. Tapi dah 'sedekah' Negeri Selangor kepada pembangkang, barulah dia menoleh jawatan Ketua Pemuda yang tidak pernah diidamkan.
Betullah kata pemuda awal-awal tadi yang berkempen untuk Khir bahawa Khir memang kuat – ertinya kuat betul goleknya, kuat betul nafsunya dan kuat sungguh hayunnya semata-mata mahu kembali mencari tapak baru menanam semula benih politiknya yang tidak sehebat mana.
Tapi apa nak buat, muka sudah bertampal kulit baru, maka tak sedarlah dia tebal mana mukanya untuk menagih sokongan walaupun terpaksa ditebus dengan harga yang cukup mahal itu.