PERINGATAN: SEBARANG KOMEN YANG DIBERIKAN OLEH PEMBACA BUKAN DIBAWAH TANGGUNGJAWAB WAK.


Tuesday, December 9, 2008

KAMBING HITAM: KHIR TAK PAYAH HAIRAN KERANA MASA LAMPAUNYA TELAH HITAMKAN SEJARAH DIRINYA ~ Malaysiakini

Oleh Abang Mahmor

Berita tersebar luas bahawa calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Khir Toyo bimbang dia akan jadi 'kambing hitam' dalam pertandingan dengan Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin merebut kerusi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bulan Mac nanti.

Sesungguhnya Khir patut sedar akan kelemahan-kelemahannya sebelum memikirkan untuk bertanding jawatan tersebut setelah mempunyai pelbagai kelemahan yang ketara seperti gagal mempertahankan Negeri Selangor daripada terlepas ke tangan pembangkang, isu penyapu yang tidak habis diperkatakan, robohkan kuil Hindu ketika kaum India mahu menyambut Deepavali, mengubah wajahnya menjadi putih hansem dengan memakan banyak tempe dan yang terbaharu ialah meluluskan projek perumahan di kawasan bukit hingga menyebabkan baru-baru ini meranapkan 14 buah banglo di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang.

Ini satu perkembangan terbaharu yang Kerajaan Selangor pimpinan PKR sudah pasti menyingkap fail lama untuk mendedahkan bagaimana kerajaan pimpinan Khir dulu telah dengan mudah meluluskan projek perumahan di kawasan berbukit di sekitar Selangor kalau tidak kerana kepentingan untuk kroninya.

Sejak kondo mewah di kawasan Ulu Kelang, Highland Tower runtuh kira-kira 13 tahun lalu, sebenarnya kerajaan pusat telah setuju tidak membenarkan pembinaan projek perumahan dilakukan di kawasan bukit lagi. Tetapi semasa zaman Khir menguasai Negeri Selangor, beliau tidak langsung pedulikan perkara itu dan kawasan bukit terus diterokai dan perojek perumahan terus dibangunkan seolah-olah tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Dengan peristiwa yang meragut nyawa baru-baru ini, kita boleh merujuk balik siapa sebenarnya yang meluluskan tanah itu untuk dibangunkan dengan membelakangkan syarat yang beliau sendiri terlibat mengeluarkan arahan seumpama itu.

Walaupun Khir bukan lagi Menteri Besar Selangor, tetapi terjerlusnya 14 buah banglo di kawasan bukit itu, eloklah kita membuat renungan sejenak betapa ada kepentingan di sebalik kelulusan itu. Nescaya Menteri Besar sekarang tidak akan mendiamkan diri dan Khir bersiap sedialah untuk menghadapi keengkarannya memberikan kelulusan itu dengan sewenang-wenangnya.

Siasatan rapi harus dilakukan bagi mencari punya siapa pemaju dan siapa kontraktor yang telah berjaya mempengaruhi Khir yang ketika itu Menteri Besar bertanggungjawab meluluskan projek itu.

Kerana itulah juga semakin lama kempen Ketua Pemuda ini berjalan, Khir semakin bimbang kerana semakin banyak perkara terbongkar yang mendedahkan apa sebenarnya yang Khir lakukan sebelum ini selain daripada perkara-perkara yang telah turut sama mendedahkan sikap bongkaknya ketika berkuasa dulu.

Sekarang Khir sedang mencari tempat kuasa baru dan nampaknya tergesa-gesa dan sedang berusaha mempengaruhi pemuda untuk mendapatkan tempat di landasan Pemuda UMNO pula dengan apa cara sekali pun. Di samping itu, Khir sudah bersedia untuk menghorbankan apa yang beliau ada semata-mata untuk mencari pengaruh kerana Khir percaya pemuda 'boleh dibeli'.

Di mana-mana, Khir menyatakan kehairanannya mengapa ada pemuda bahagian yang tidak mencalonkan beliau hinggakan beliau terpaksa berlawan dengan Mukhriz dan Khairy. Beliau juga cuba mengaitkan dirinya tidak dari kalangan anak pemimpin besar seperti Mukhriz anak Tun Mahathir dan Khairy menantu Pak Lah.

Kononnya dia akan jadi kambing hitam dan akan berusaha menemui semua pemuda yang tidak mencalonkan beliau untuk 'diracun' dengan dakyah yang pelbagai. Khabarnya Khir sanggup 'beli' hati untuk meraih undi perwakilan walaupun dengan harga yang cukup mahal.

Ertinya, Khir sanggup berkongsi kekayaannya demi untuk menangkis dirinya daripada dikambinghitamkan dalam merebut jawatan yang satu-satunya tempat terakhir bagi beliau supaya tidak terkeluar daripada tapak penting dalam politik.

Khir harus ingat bahawa kenyataannya yang menolak jawatan kabinet jika memenangi jawatan Ketua Pemuda senada pula dengan Mukhriz sebenarnya telah menambahkan jelek pemuda. Banyak tulisan berkaitan isu ini telah mengejek Khir dan Mukhriz memainkan sentimen perasan mereka untuk menagih undi.

Apa pun argumen Khir untuk memberikan gambaran bahawa dia orang baik dikira agak terlambat kerana untuk menyesali apa yang telah berlalu, beliau tetap dilihat sebagai orang yang sentiasa membawa watak tamak, bermuka sadin untuk sentiasa mencari jalan untuk mengaburi mata pemuda.

Semoga pemuda yang waras harus ingat siapa Khir sebelum ini untuk dijadikan pemimpin mereka menerajui pergerakan pemuda yang memerlukan seorang yang perjuangannya jitu dan ikhlas untuk membentuk satu generasi pelapis menerajui negara kita ini sambil menjadikan Pemuda UMNO sebagai tiang negara.